Selasa, Januari 8

:: Sebuah Kehidupan ::




Assalamualaikum w.b.t

Apabila hidup bersendirian di kota ini, kadang kala membuat aku banyak berfikir, banyak mengenang kenangan dan cerita-cerita masa lalu ku. Fikiran ku sering bermain situasi-situasi yang pernah aku alami dulu. Kadangkala kembaranya akal dan hati aku susah dalam mencari kebenaran. Puncanya apabila akal mula buntu, hati mula sesak dan lesu, setelah sekian lama belayar dalam gelora bisikan syaitan yang palsu, saban hari digoncang perasaan celaru.

Kadangkala, dalam kesepian aku merasai diri ini tak pasti, dari mana pangkalnya, akal mula ligat menyambar peti ingatan, serabut dengan berfikir, membuka memori, mencari kekihlafan diri dahulu. Ya!! mungkin dahulu aku sangat jahil dengan erti kehidupan. Tapi, syukur hati masih berfungsi untuk memilih, luka dari mainan perasaan mula cari penawar untuk pulih.

Dalam kehidupan ini..siksa dan derita juga umpama perencah yang mesti diambil, disamping suka dan bahagia yang dicintai, namun usah terlalu bersedih wahai hati, ingatlah bahawa masih ramai yang lebih hebat diuji, mencuit hati agar kembali ke fitrah manusiawi, pulang ke pangkuan Ilahi.

Aku sering berfikir bahawa seandainya Dia tiada bersama-sama dengan hamba seperti aku yang sering mudah terjerumus, mungkin kesesatan dalam jiwa aku terus menerobos jauh ke alam  kejahatan dan sekaligus kekhilafan aku semakin nyata. Dulu, aku pernah melepaskan kegeraman aku terhadap bencana yang menimpa aku dengan berhenti berdoa untuk seketika, kadangkala aku alpa dan lupa bahawa Dia ada bersamaku, namun rencah kehidupan membuat aku sedar bahawa aku tidak mungkin berpaling dari terus mengingatiNya sehingga kiamat muncul. Aku akui memang banyak kesilapan aku dahulu, tapi sesungguhnya Allah itu Maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui. 

Allah Maha Kaya 

Hakikatnya, orang-orang yang merasakan bahawa mereka mampu memberikan Allah masalah, kekurangan, kesukaran, adalah orang-orang yang cetek akalnya. Sesungguhnya, Allah SWT tidak pernah memerlukan manusia untuk menyembah-Nya, untuk tunduk kepada-Nya, untuk taat kepada-Nya. Allah tidak menjadi lebih besar dengan ketundukan manusia kepada-Nya, juga tidak menjadi lebih kecil dengan keingkaran manusia kepada-Nya. 

Manusia itulah yang hakikatnya menjadi mulia bila sujud kepada Allah, dan menjadi hina apabila meninggalkan-Nya. Hal ini kerana, Allah adalah Pencipta, Yang Maha Besar, Yang Berdiri dengan Sendiri, Yang Maha Perkasa dan tiada tandingan untuk-Nya. Kita memerlukan Allah untuk memandu kehidupan kita di dunia dan memberikan kita kejayaan di akhirat. Tetapi Allah, Dia tidak memerlukan kita. Bahkan di dalam Al-Quran, Allah sering kali mengulang perkara ini. Antaranya pada ayat 8 Surah Ibrahim.

“Kalau kamu dan sesiapa sahaja di atas muka bumi ini seluruhnya ingkar, maka hal yang demikian itu tidaklah merugikan Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah Ibrahim ayat 8.

Aku seorang hamba yang sangat-sangat kerugian. Allah SWT menjadikan dunia ini sebagai ujian. Diciptakan aku dan semua hamba-hamabanya di atas dunia ini untuk diuji, untuk mengharungi ujian dan memilih antara kejayaan abadi atau kesenangan fantasi.

Justeru, apabila kita meninggalkan Allah SWT, ataupun hatta mengisytiharkan perang kepada Allah SWT, itu semua tidak memberikan kesan langsung kepada Allah SWT. Bahkan, yang meruginya adalah kita. 



Allah SWT adalah Pemberi Ketenangan, Pencipta Kebahagiaan, Punca kepada segala kesenangan. Meninggalkan Allah SWT, maka semua itu akan tertanggal daripada kehidupan kita. Jiwa tidak tenang, hati sentiasa gelisah dan kehidupan tidak terurus. Ya, kadangkala aku berfikir mungkin sahaja kita lihat rumahnya besar, wajahnya sering sahaja bersama senyuman, tetapi siapa tahu apa yang bergejolak di dalam hati? Mulut boleh sahaja manis bicara berkata: “Aku bahagia” sedangkan di dalam jiwa siapa yang mengetahui?

Pada aku kerugian tidak terhenti setakat di atas dunia. Bahkan berlanjutan hingga ke akhirat. Dan di akhirat itulah nanti, orang yang meninggalkan Allah SWT itu menyedari kerugian mereka yang nyata. Aku tidak mahu jadi seperti itu. Semoga Allah sentiasa melindungi aku daripada kerugian itu. 

Sesungguhnya,  aku amat memerlukan Allah, kerana aku adalah seorang manusia yang sangat lemah. Tidak berkemampuan dan tidak stabil. Sifatku terkawal oleh sifat kalbu yang berbolak balik. Maka ada waktu diriku kuat dan wujud pula masa diriku lemah tidak larat. Hidup manusia juga turun dan naik. Bukan selamanya senang dan bukan setiap masanya susah. Tambah pula cabaran-cabaran kehidupan yang pelbagai seperti pelajaran, pekerjaan, kekeluargaan dan sebagainya, semuanya cukup menjadi ‘rencah’ kepada kemasyghulan manusia dalam kehidupan.

Maka hendak tidak hendak, aku sebagai manusia memerlukan Allah SWT. 

Allah yang Maha Kuat, Allah yang Maha Hebat, Allah Yang Maha Perkasa, Allah Yang Maha Mengetahui, Allah Yang Maha Memerhati, Allah yang Maha Mendengar, untuk memerhatikan mereka. Dan sesungguhnya, Allahlah pembantu terutuh manusia yang mendekat kepada-Nya.


p/s : * Allah Maha Kaya. Pengingkaran kita, langsung tidak memberikannya kesan apa-apa.

Tiada ulasan: