Rabu, Jun 9

::sedih bile baca berita-pelajar sekolah aku::

Berpakat larikan diri

2010/06/09

JOHOR BAHRU: Mereka sahabat karib dan rakan sekelas dengan kebanyakan perkara dilakukan bersama. Berbekalkan wang saku RM5, kedua-duanya melakukan satu kejutan iaitu lari dari sekolah di Permas Jaya di sini.

Semuanya bermula selepas waktu persekolahan pada 1 Jun lalu, Siti Nurzieha Nuri dan Rozana Ahmad Salleh, kedua-duanya berusia 17 tahun, keluar dari sekolah walaupun cuba dihalang guru sebelum menghilangkan diri.


Bapa seorang daripada pelajar tingkatan lima itu, Nuri Ngadirin, 49, berkata dia menghantar anaknya ke sekolah seperti biasa pada jam 7 pagi.


“Bagaimanapun, saya terkejut apabila dihubungi gurunya pada jam 8.20 pagi mengatakan anak bersama Rozana berkeras mahu keluar sekolah walaupun dalam waktu persekolahan.


“Saya terus bergegas ke sekolah tetapi gagal menemui mereka. Saya turut menghubungi anak, bagaimanapun telefon bimbitnya dimatikan,” kata pemandu teksi terbabit.


Bimbang berlaku kejadian buruk, Nuri mula mendapatkan maklumat lebih lanjut dengan siapa anaknya berkawan dan pelbagai lagi.


Akhirnya, dia mendapati Siti Nurzieha mempunyai hubungan dengan seorang remaja lelaki berusia 20-an dan pada masa sama, Nuri turut menemui keluarga Rozana untuk berbincang mengenai anak mereka.


“Saya dan isteri, Marwati Ahmad, 45, pernah bersemuka dengan keluarga remaja lelaki terbabit tetapi mereka mengatakan tidak tahu apa-apa berkaitan kejadian.


“Saya juga berbincang dengan keluarga Rozana sebelum mengambil keputusan melakukan pencarian bersama kerana yakin kedua-duanya tidak terpisah,” katanya.


Nuri percaya perkara itu dirancang dan besar kemungkinan anaknya itu masih di sekitar bandar raya.


“Sebagai usaha mengesannya, saya turut menampal poster Siti di stesen bas, teksi, pusat beli-belah, selain lokasi tumpuan awam tetapi gagal mendapat petunjuk di mana anak keempat daripada 11 beradik itu berada,” katanya.

Nuri sudah membuat laporan di Balai Polis Permas Jaya dan berharap anaknya itu kembali semula kepada keluarga.


Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan anaknya dan Rozana supaya menghubungi talian 019-7637972, 012-7234600 (Mohd Ridzuan) dan 016-7947359 (Ahmad Salleh).